Ramadan Mubarak.
Sabda Nabi S.A.W : -
Bukanlah berpuasa itu sekadar menahan dari makan dan minum. Sesungguhnya puasa itu juga adalah menahan diri dari perkara yang sia-sia dan kotor (lucah). Jika kamu dimaki oleh seseorang atau diperbodohkannya, maka berkatalah: Sesungguhnya aku berpuasa. [riwayat Ibn Khuzaimah dan al-Hakim / Sahih al-Targhib 1068]
Translation:
Abu Hurairah reported that the Prophet said:
“Fasting is not [abstaining] from eating and drinking only, but also from vain speech and foul language. If one of you is being cursed or annoyed, he should say: “I am fasting, I am fasting.” [Ibn Khuzaimah, Ibn Hibban, and al-Hakim; Sahih].
Ramadan Mubarak, May Allah accept our fasting as well as our good deeds.
رمضان مبارك،تقبل الله منا و منكم الصيام و القيام
Penat Menanti Detik Kemustajaban Doa

Soalan: Saya mudah kecewa. Apabila saya doa, saya rasa doa saya Allah tidak akan terima. Saya dah minta doa macam-macam, tapi banyak benda yang minta itu tak berlaku seperti yang diminta. Kadang-kadang sehingga saya rasa macam tidak larat hendak berdoa. Tolonglah saya Dr!
Wardini, Kuala Kangsar.
Jawapan Dr MAZA:
Saudari, semoga Allah merahmati kita semua. Untuk menjawab kemusykilan saudari itu, saya nyatakan seperti berikut:
1. Doa adalah permohonan kepada Allah. Allah ialah Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mencipta. Apabila seseorang berdoa kepadaNya, hendaklah ia dilakukan dengan penuh perasaan merendah diri, kekusyukan jiwa, harapan dan pergantungan yang mutlak diserahkan kepadaNya.
Ramai orang berdoa, tetapi tidak ramai pula yang jiwanya ketika berdoa itu jiwa merendah, penuh tunduk dan khusyuk kepada Allah. Kebanyakan doa diungkapkan dengan jiwa yang hambar sedangkan Allah memerintahkan: (maksudnya)
“Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) yang perlahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas”. (Surah al-‘Araf, 55).
Jika kita dapat menjadikan jiwa kita ini begitu beradab, merendah, khusyuk dan penuh pengharapan kepada Allah, kita menghampiri pintu kemakbulan.
2. Bersangka buruk kepada Allah seperti menganggap Allah tidak akan terima doa adalah perasaan yang salah dan perlu dibaiki. Bagaimana mungkin Allah menolak doa, sedangkan Dia yang memerintahkan kita berdoa kepadaNya. Firman Allah:
(maksudnya): “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir. Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka mendapat petunjuk (Surah al-Baqarah, 186).
FirmanNya juga: (maksudnya)
“Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu”. (Surah Ghafir, 60).
Doa yang dilakukan dengan penuh penghayatan pasti diterima Allah. Itulah jaminan Allah sendiri.
3. Maka seseorang hamba yang berdoa hendaklah dia penuh dengan keyakinan bahawa Allah akan memakbulkan doanya. Hanya jiwa yang tidak khusyuk ketika berdoa sahaja yang ragu-ragu terhadap penerimaan Allah. Sabda Nabi s.a.w:
“Berdoalah kamu kepada Allah dalam keadaan kamu yakin dengan kemustajabannya. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari jantung hati yang lalai dan alpa” (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).
4. Namun, waktu dan ketika yang dipilih oleh Allah untuk sesuatu doa itu diperkenankan, hanya dalam ilmu Allah. Kadang-kala dilewatkan atas hikmah yang Dia Maha Mengetahui, dan insan yang berdoa juga biasanya akan tersingkap hikmah tersebut apabila tiba masanya. Sehingga apabila tiba waktu doa itu ditunaikan Allah, baru kita akan merasa betapa beruntungnya kemustajaban itu hadir pada waktu tersebut. Maka jangan putus asa dalam berdoa. Sabda Nabi s.a.w :
« Sentiasa doa dimustajabkan untuk seorang hamba Allah selagi mana dia tidak berdoa untuk membuat sesuatu dosa, atau memutuskan silaturrahim, selagi dia tidak tergopah-gapah ». Ditanya baginda : « Apa itu tergopoh-gapah ? ». Sabda baginda : «Apabila dia berkata : aku telah pun berdoa ! aku telah pun berdoa !, tetapi aku tidak nampak pun dimustajabkan untukku, lalu dia berhenti ketika itu dan meninggalkan doa » (Riwayat Muslim).
5. Cara bagaimana Allah memustajabkan sesuatu pengharapan atau doa hamba itu juga berbeza-beza. Mungkin tidak seperti jalan yang disangka hamba yang berdoa itu, tetapi Allah sesuatu yang lain yang lebih baik untuknya. Umpamanya, mungkin seorang hamba meminta kekayaan yang besar atas andaian dengan kekayaan itu maka dia akan bahagia.
Namun Allah mengetahui tentang hal hamba tersebut yang mana kekayaan besar boleh memudaratkan iman atau persekitarannya yang lain. Allah mungkin menggantikan kekayaan yang besar itu dengan rezeki yang mencukupi, kesihatan yang baik, anak-anak yang soleh dan keluarga yang bahagia. Kesemua itu membawanya mencapai ketenangan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat.
Maka insan hendaklah jangan cepat menyatakan doanya tidak diterima, sebaliknya hendaklah dia sentiasa menyemak dan menilai segala kurnia Allah yang ada di sekelilingnya. Kemustajaban doa itu berlaku dalam berbagai bentuk. Sehingga ada yang Allah tangguhkan apa yang diminta itu ke hari akhirat, kerana Allah mengetahui bahawa di saat itu insan tersebut lebih memerlukan apa yang diminta tersebut. Sabda Nabi s.a.w :
« “Tiada seorang muslim yang berdoa dengan suatu doa yang tiada dalamnya dosa, atau memutuskan silaturahim melainkan Allah akan memberikan kepadanya salah satu dari tiga perkara: samada disegerakan kemakbulan, atau disimpan untuk diberikan pada hari akhirat, ataupun dijauhkan keburukan yang sepadan dengannya”. (Riwayat Ahmad, Al-Bazzar dan Abu Ya’la dengan sanad yang sahih).
6. Doa tidak sia-sia. Doa adalah lambang pengabdian diri seorang hamba Allah kepada Allah Yang Maha Agung. Sebab itulah berdoa kepada selain Allah, sekalipun memohon kemustajaban dari nabi atau wali adalah dianggap sebagai syrik. Sementara berdoa kepada Allah adalah ibadah. Ertinya, jika seorang hamba itu berdoa selama sejam, dia sebenarnya sedang beribadah selama sejam. Jika dia berdoa sepanjang malam, bererti dia beribadah sepanjang malam. Sabda Nabi s.a.w :
“Doa itu adalah ibadah” (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).
Adapun berdoa selain Allah pula adalah syirik dan memusuhi penyerunya pada hari Kiamat kelak. Firman Allah: (maksudnya):
“Dan tiada yang lebih sesat dari orang yang menyeru selain Allah, yang tidak dapat menyahut seruannya sehinggalah ke hari kiamat, sedang mereka (makhluk-makhluk yang mereka sembah itu) tidak dapat menyedari permohonan tersebut. Dan apabila manusia dihimpunkan (pada hari akhirat), segala yang disembah itu menjadi musuh (kepada orang-orang yang menyembahnya) dan membantah mereka” (Surah al-Ahqaf, 5-6).
7. Kehidupan ini mempunyai rahsianya yang tersendiri. Banyak perkara yang kita rasa pahit dan membencinya pada masa tertentu padahal ia manis pada masa yang lain. Banyak perkara yang kita rasa baik, ia buruk apabila berubah masa dan keadaan. Allah Maha Mengetahui apa yang bakal terjadi, apa yang sedang dan telah terjadi. Kita selalu tergopah-gapah menilai sesuatu keadaan. Sehingga kadang-kala kita berdoa hendak sesuatu, sedang Allah mengetahui ia tidak baik untuk kita. Allah menggantikan dengan perkara lain, kita mungkin tidak perasan atau sedar.
Seseorang mungkin merasakan doa yang dikehendaki belum Allah mustajabkan, tetapi dia terlupa apa yang sedang dinikmatinya itu sudah mencapai harapannya. Maka, janganlah cepat kita berputus asa dengan rahmat Allah dan terus menghukum bahawa doa kita belum dimustajabkan.
8. Dukacita dan keperitan hidup menghapuskan dosa dan menaikkan darjat seseorang di sisi Allah. Ia juga membawa insan membanyakkan doa. Dalam detik menunggu kemustajaban doa, ramai yang kembali menjadi soleh, tunduk, tawaduk dan membanyakkan ibadah. Penangguhan doa mempunyai berbagai hikmah dalam kehidupan muslim. Dunia ini amat kerdil dan tidak dibandingkan dengan akhirat. Doa merupakan amalan yang membawa kebahagian insan di akhirat. Menanti kemustajaban doa dengan iman dan penuh tawakal merupakan tempoh yang menyebabkan banyak insan kembali menemui jalan Allah yang hakiki.
9. Marilah kita teruskan doa, baiki diri dan nilailah apa yang telah berikan kepada kita dalam kehidupan hari ini. Keperitan hari ini, mungkin kemanisan hari esok. Kemanisan hari ini, belum tentu kenikmatan hari esok. Maka, sentiasa bertawakal kepada Allah dan jangan putus asa berdoa kepadaNya.
Maybe tomorrow
Niat baik mendapat gandaan pahala dari Allah
28Feb07 : Dr Asri, (bekas) Mufti Perlis ( 1 / 9 )
Riyadhus Solihin — Hadis Qudsi (Niat baik mendapat gandaan pahala dari Allah) Seruan kepada Fiqh Taisir. Masjid Alwi , Kangar
ps : ada 9 bahagian semuanya, moga kita rajin untuk click next-next-next sampai part 9. insyaAllah bermanfaat.
Tazkirah Ramadhan [update]
usrahcyber: Tazkirah ramadhan:
HARAM LALU DI DEPAN ORANG YANG SEDANG SOLAT. Kata Nabi Muhammad s.a.w, “Sekiranya seseorang yang lalu di hadapan orang yang solat itu tahu sebesar manakah dosanya, nescaya ia berhenti menunggu selama lebih 40 (tahun, hari dan bulan) adalah lebih baik dari ia lalu di hadapan orang yang solat itu. (perawi berkata : aku tidak pasti nabi menyebut 40 hari, bulan atau tahun) ( Riwayat Al-Bukhari)
LiyanaNaznim: apekah cara yg terbaik kalau terpaksa lalu depan orang solat? bagaimana pule kalau dalam masjid?
usrahcyber: kalau didalam masjid, diwajibkan kita menunggu ataupun kita meletakkan sesuatu yang menjadi tanda didepan kemudian barulah lalu
usrahcyber: tanda itu dinamakan sebagai sutrah
usrahcyber: Ibn Hajar menukilkan kata-kata Imam An-Nawawi yang berkata :- “hadis ini menunjukkan haramnya lalu dihadapan orang yang sedang solat dan makna hadis ini membawakan larangan keras dengan balasan yang dahsyat, justeru ia tergolong dalam kategori dosa-dosa besar” ( Rujuk Fathul Bari, Ibn Hajar )
LiyanaNaznim: “meletakkan sesuatu” tu .. adekah terhad dengan sesuatu benda yg tinggi spt tabir dlm masjid
usrahcyber: tidak,,
usrahcyber: boleh juga meletak rehal yang ada dalam masjid,misalnya didalam masjid al-hidayah ada rejal,jadi letakan didepannya
usrahcyber: *rehal
LiyanaNaznim: alhamdulillah.. terima kasih 
————————
[updated - additional info]
Sutrah:-
ستره
n. covering
سَتَرَ , سَتَّرَ
Satir/Sattara
disguise, enshroud, cover, curtain, shield, screen, veil
Better Late than Never
Bulan lepas, saya dihubungi oleh seorang warga emas, meminta saya untuk mengajar beliau membaca al-quran untuk memperbaiki bacaan terutamanya dari segi tajwid. Saya gembira jika dapat membantu. Saya bukanlah seorang yang bertauliah untuk mengajar, tapi sekadar basic tajwid dan tolong bacakan tafsir al-Quran, boleh la.
Setelah bersetuju, saya dan Makcik Limah (nama samaran) menetapkan waktu yang sesuai untuk kami luangkan masa bersama membaca Quran, dan proses membetulkan bacaan berjalan lancar. Ayat demi ayat dibaca perlahan-lahan dan akhirnya kami dapat habiskan beberapa buah surah dari juzu’ amma, surah Yaasin dan lain-lain. Beliau nampaknya begitu berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang al-quran dan tafsirnya.
Tiba-tiba secara perlahan dan penuh dengan rasa bingung dan ingin tahu, Makcik Limah bertanya, “Kenapa maksud surah ni pelik ye? Cuba Liyana baca” Pada awalnya saya fikir, oh, mungkin tafsir Quran milik Makcik Limah tu diterjemah dalam bahasa Indonesia lama atau mungkin diterjemah straight forward dari bahasa Arab kepada bahasa Indonesia. Jadi, saya mengambil tafsir itu dan tolong bacakan maksud ayat-ayat tersebut. Tetapi bila dibaca, saya fikir bahasanya tidaklah sukar untuk difahami.
Surah Yaaseen, ayat 3:
“Sesungguhnya engkau salah seorang diantara rasul-rasul.”
(Inna – ka )
Inna = sesungguhnya ,
ka = engkau (untuk lelaki),
Innaka = sesungguhnya engkau
engkau = ditujukan kepada Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam
Cuma, kitab tafsir tersebut menterjemahkan ayat itu tanpa “Ya Muhammad” kerana diterjemahkan straight forward ke dalam bahasa Melayu.
(dalam kitab tafsir lain menterjemahkan ayat tersebut bersama “ya Muhammad”) :
“Sesungguhnya engkau (ya Muhammad) salah seorang diantara rasul-rasul.”
Sebelum menjelaskan hal ini saya bertanya, “Kenapa makcik rasa pelik?”
Makcik Limah bertanya lagi, “kenapa ditulis ‘sesungguhnya engkau salah seorang diantara rasul?’ Makcik takutlah nak baca. Kenapa pulak tiba-tiba (si pembaca) adalah salah seorang di antara rasul? Ayat-ayat dalam surah lain pun sama. Dah lama dah makcik tengok, makcik takutlah nak baca tafsir surah-surah ni. Takut terpesong.”
Terkedu saya seketika.
Saya menarik nafas, dan menjelaskan maksud ayat tersebut seperti di atas, termasuk penggunaan perkataan ‘kami’ di dalam ayat-ayat al-Quran contohnya:
Surah Faathir, ayat 32:
Kemudian Kami jadikan Al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran) dan di antaranya ada yang bersikap sederhana dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata).
Di mana penggunaan ‘nahnu’ atau ‘na’ (singkatan untuk ‘nahnu’ atau terjemahannya ‘kami’) di dalam ayat tersebut bukanlah bermaksud Allah itu lebih dari satu. Sebaliknya, menunjukkan betapa Allah itu mempunyai zat yang Maha Kaya.
Seperti yang kita ketahui, bahasa al-quran mempunyai seni sastera yang tinggi dan penggunaan perkataan-perkataan ini dapat dipelajari dalam ilmu balaghah. Jadi beruntunglah sekiranya kita umat Islam jika dapat mendalami bahasa Arab kerana dalam masa yang sama dapat menyangkal hujah-hujah musuh Islam yang ingin mengelirukan orang Islam dengan memutarbelitkan maksud tersirat dalam ayat-ayat quran.
Di sini juga kita dapat lihat pentingnya ilmu Asbabun Nuzul yang dapat membantu kita memahami dengan mudah maksud ayat-ayat quran dengan mendalami sebab-sebab mengapa dan bagaimana turunnya ayat-ayat tersebut supaya kita tidak keliru.
Berbalik kepada kisah Makcik Limah yang menganggap semua perkataan ‘kamu’ atau ‘engkau’ di dalam al-quran adalah ditujukan kepada pembaca, perasaan saya bercampur aduk. Terkejut dan amat sedih kerana beliau mengambil masa berdekad-dekad untuk bertanya tentang perkara ini, dan terfikir juga mungkinkah ada orang lain seperti Makcik Limah? Tapi biarlah, sekurang-kurangnya beliau ada perasaan ingin tahu dan masih ada usaha untuk bertanya. Better late than never,right?.
Saya menulis sekadar untuk berkongsi pengalaman saya, dan apa yang saya lihat dan dengar. Mungkin ada di antara kita yang tidak tahu atau malu untuk bertanya tentang perkara-perkara yang kita pandang mudah. Ini cerita Makcik Limah yang dah tua, yang muda pun ramai juga yang tak tahu baca quran sebab malu. Ada juga yang fikir bukan-bukan tentang tafsir al-quran. Kalau waktu muda tak tahu baca al-quran alasannya malu nak bertanya, dah tua nanti pun sama juga alasannya. Apa kata kita buang alasan tu dan tebalkan muka untuk belajar al-quran dengan tafsir sekali? Tak rugi pun.. untung ada lah..
Yer dok?
*Mengingatkan diri sendiri juga yang takkan pernah sempurna..* (???)?
Wassalam.
ubat hati
[Surah Nuh, ayat 10,11,12]
Sehingga aku berkata (kepada mereka): Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun. (10)
(Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; (11)
Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya). (12)
sesungguhnya segala sesuatu ada pembersihnya, ada pengkilatnya, ada sikatnya.
pembersih hati yg kotor, pengkilat hati yg berdosa, sikat hati yg ternoda,
adalah zikrullah.
maka setiap lafaz zikir, membersihkan dosa noda yg kita berbuat.
begitu kotoran di angkat dari hati itu,
tampaklah ada nur didalamnya,
nur yg Allah berikan pada diri kita,
lalu nur itu mencari nur hidayah, nur rahmat, nur makfirah, nur makrifat, nur barakah dari Allah,
alangkah indahnya hati yang memancarkan nur ilahi,
melalui zikrullah dan istighfarnya.
Buat setiap hati,
La Tahzan, Innallaha Ma ‘ana.
“Jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita”
untitled. oh, there's an important reminder to all.
Sampai di MMU semalam, kemas bilik.. terus selsema.
Guess what. Semalam satu flight dengan Nazrey (Raihan).
Malam semalam pegi appreciation dinner untuk committee IU Charity Dinner 07 kat Village View,Bangi. Balik MMU pukul 12.30am. Hujan sangat lebat.
PERINGATAN: Kalau dapat mesej yang mengandungi “hadis” yakni apa sahaja yang datang daripada Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam merangkumi kata-kata, perbuatan atau perakuan. Berhati-hati sebelum percaya lalu menyebar kepada orang lain. Mesti baca: [Berdusta Ke Atas Rasulullah, Berhati-hati dalam menyampaikan hadis]
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Barangsiapa yang dengan sengaja berdusta ke atas aku, maka tersedialah baginya tempat duduk dari api neraka. [ Hadis Sahih (Mutawattir): Dikeluarkan Imam al-Bukhari, Imam Muslim, Ibn Majah, ad-Darimi dan lain-lain. Lihat Sahih al-Bukhari, hadis no – 109 (Kitab al-Ilm, Bab dosa berdusta keatas Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam). Dikeluarkan Imam Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no – 3 dan 4 (Muqaddimah - Bab berdusta keatas Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam).]
Ingat! Ingat! dan Ingatlahh!
Selamat bekerja, Selamat belajar, Selamat menjalani kehidupan seharian. Doakan segala kebaikan untuk saya, anda dan orang-orang tersayang. wah.. sgt skema. Wassalam.




